PETALING JAYA – Video seekor babi yang terjatuh dari sebuah lori selepas haiwan itu dilihat memanjat keluar daripada bahagian belakang kenderaan berkenaan menjadi tular di media sosial sehingga meraih lebih 24 juta tontonan.
Situasi itu sempat dirakam seorang pengguna disebabkan kereta dinaikinya bersama beberapa individu lain berada di belakang lori tersebut.
Menerusi perkongsian pengguna TikTok @barbara67008, babi berkenaan dilihat tergolek-golek di atas jalan selepas terjatuh, menyebabkan kereta perakam terpaksa memperlahankan kenderaan bagi mengelak melanggar haiwan itu.
Dalam video tersebut, kelihatan sebuah lori dengan membawa muatan sekumpulan haiwan itu sedang melalui sebuah lebuh raya.
Pelbagai reaksi diberikan pengguna media sosial menerusi komen ditinggalkan dan ada yang berseloroh mengatakan haiwan tersebut sudah mempelajari teknik melarikan diri sebelum bertindak sedemikian.
“Mesti dah berlatih banyak hari, ambil peluang bila toke bawa lalu atas jalan, dia terus terjun dengan beraninya,” seloroh Nick.
“Tak sempat jadi babi salai, dia lari dulu,” kata @Jenny99.
“Boleh berlakun filem aksi, cara mendarat memang ‘ngam’,” seloroh @user_tityny. – KOSMO! ONLINE
@barbara67008 My fate is in my hands, not in heaven’s.#pig ♬ 原聲 – Rain