fbpx
SWIATEK

Swiatek terlalu unggul, mara ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CINCINNATI – Bintang tenis Poland, Iga Swiatek menempah tiket final Terbuka Cincinnati selepas menewaskan pilihan kesembilan, Elena Rybakina 7-5, 6-3 pada aksi separuh akhir semalam.

Swiatek yang turun selaku pilihan ketiga kejohanan memperagakan aksi memukau sepanjang pertarungan yang berlangsung selama 98 minit itu.

Biarpun Rybakina tampil agresif pada set pertama, Swiatek berjaya mendapatkan semula rentak permainannya sebelum menutup perlawanan menerusi kemenangan straight set.

“Perlawanan ini cukup sukar. Pada permulaan, tahap permainan sangat pantas sehingga ada kalanya kami sendiri tidak sempat mengejar bola kedua kerana tempo begitu tinggi.

“Namun, saya turun dengan intensiti dan kualiti yang baik. Saya sangat gembira dengan prestasi hari ini, terutama apabila servis saya jauh lebih baik. Saya tidak akan ubah apa-apa,” kata Swiatek.

Rybakina pada mulanya mendahului 5-3, namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Swiatek bangkit dengan fokus tinggi untuk menyamakan kedudukan 5-5 sebelum tewas 5-7.

Rybakina yang sebelum ini mencatat kemenangan pantas menyingkirkan pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka di suku akhir, sekali lagi dihukum kesilapan sendiri apabila dipatahkan servisnya di awal set kedua untuk Swiatek mendahului 3-1.

Walaupun pemain Kazakhstan itu cuba bangkit dalam tiga permainan berikutnya, Swiatek menunjukkan ketahanan mental dengan menyelamatkan dua break point untuk mengekalkan servis dan mendahului 5-2.

Swiatek akhirnya menamatkan perlawanan selepas pukulan balas deras Rybakina tersasar, sekali gus memastikan kemenangan dan mengekalkan rekod bersihnya tanpa kehilangan sebarang set sepanjang saingan di Cincinnati.

Pemain berusia 24 tahun itu akan berdepan pilihan ketujuh, Jasmine Paolini pada aksi final yang berlangsung hari ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI