PETALING JAYA – Dua tahun menjalani bahtera perkahwinan, pelakon Datin Intan Najuwa meluahkan rasa terharu seringkali menerima layanan terbaik daripada suami, Datuk Ahmad Azraf Azman.
Malah, Intan atau Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, bersyukur kerana sepanjang tempoh tersebut dia tidak pernah dibiarkan melakukan kerja rumah, sebaliknya dilayan bak seorang puteri.
“Selamat ulang tahun kedua buat cinta dalam hidup saya.
“Dari hari pertama hingga sekarang, awak tak pernah biarkan saya buat kerja rumah, tidak biar saya risau hal-hal kecil.
“Awak manjakan, lindungi dan sayangi saya seperti seorang puteri,” katanya dalam Instagram.
Pada masa sama, pelakon drama Tuan Danial itu sangat bahagia menjalani kehidupan lebih-lebih lagi selepas kehadiran cahaya mata sulung mereka, Imane Lunara.
“Kini dengan hadirnya anak perempuan kita, Lunara cinta kita terasa lebih sempurna dan bermakna.
“Saya bahagia menjalani hidup ini bersama awak,” ujarnya.
Intan mendirikan rumah tangga dengan usahawan Azraf pada Ogos 2023. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Imane Lunara 15 Disember tahun lalu. – KOSMO! ONLINE