BEKAS pemain beregu lelaki No. 1 dunia, Tan Boon Heong percaya pelantikan legenda badminton tanah air, Datuk Seri Lee Chong Wei sebagai Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin sia-sia jika tidak diberikan kuasa penuh.
Beliau yang pernah bergelar beregu emas bersama Koo Kien Keat menyatakan harapan supaya Chong Wei diberikan kebebasan bagi melaksanakan tugas yang digalas berbekalkan pengalaman dimiliki.
Boon Heong menegaskan, sekiranya pelantikan pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu hanya untuk menghadiri mesyuarat, ia akan menjadi satu kerugian besar buat sukan badminton tanah air.
“Kalau Datuk Seri (Lee) Chong Wei masuk BAM, memang saya rasa beliau boleh membantu persatuan. Bagaimanapun, sekiranya beliau hanya datang untuk menghadiri mesyuarat, bagi saya ia satu pembaziran.
“Kita perlu beri kebebasan serta kuasa penuh kepada Chong Wei untuk buat apa yang beliau mahu. Saya sangat yakin bahawa beliau tahu apa yang perlu dilakukan,” kata pemenang pingat emas Sukan Asia Doha 2006 itu.
Terdahulu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan bekas pelantikan bekas perseorangan lelaki No. 1 dunia itu sebagai salah seorang ahli majlis baharu, sekali gus menandakan kepulangan beliau dalam arena badminton negara.
Berdasarkan pengalaman luas dalam arena badminton dunia, Chong Wei dijangka memainkan peranan cukup besar bagi memastikan Malaysia dapat melahirkan lebih ramai pemain yang mampu menyinar di persada antarabangsa.
Selain Chong Wei, badan induk sukan badminton negara itu turut melantik tiga lagi tokoh korporat sebagai Ahli Majlis BAM, termasuk Tan Sri Gooi Hoe Soon, Datuk Seri Shazalli Ramly dan Datuk Sunil Abraham. – KOSMO! ONLINE