fbpx
Anwar (gambar kecil)

Perhimpunan RXZ 7.0 dapat RM100,000 dari PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan akan menyalurkan peruntukan awal RM100,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 yang akan berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu, pada 23 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan lanjut mengenai keperluan seterusnya akan diadakan bersama pihak penganjur pada minggu hadapan.

“Saya menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 yang akan berlangsung pada 23 Ogos ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu.

“Program ini menjadi platform utama yang menghimpunkan peminat dan penggiat permotoran dari seluruh negara, sekali gus mengangkat potensi industri permotoran ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, kerajaan mengiktiraf peranan serta sumbangan komuniti permotoran sebagai pemangkin semangat kebersamaan, pengukuh silaturahim, dan penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi setempat melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi.

Tambah beliau, bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang program, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan untuk memberikan bantuan dan kawalan sewajarnya.

“Saya menyeru semua peserta dan penganjur agar mematuhi peraturan jalan raya, mengamalkan sikap bertanggungjawab, serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa demi menjamin kelancaran dan keselamatan sepanjang acara berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut menyeru seluruh peserta untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan serta kecintaan kepada tanah air sempena bulan kemerdekaan.

“Semoga program ini bukan sahaja menjadi wadah permotoran yang positif, tetapi juga medan memperkukuh perpaduan nasional dan semangat patriotisme rakyat Malaysia.

“Kerajaan Madani akan terus menyokong inisiatif masyarakat yang membawa manfaat bersama, memperkukuh perpaduan, serta membina budaya permotoran yang positif, selamat, dan berdaya maju demi kemakmuran negara,” katanya.

Program RXZ Member 7.0 dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 23 Ogos ini di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI