HINGGA detik dan saat ini, hanya beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang pernah bergelar sebagai juara dunia selepas memenangi Kejohanan Badminton Dunia pada 2022.
Sudah pasti harapan seluruh rakyat Malaysia adalah untuk sekali lagi mendengar lagu Negaraku berkumandang selain menyaksikan Jalur Gemilang berkibar menjelang Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis.
Tarikh kejohanan juga boleh dianggap cukup istimewa, apabila akan membuka gelanggang 25 Ogos ini dengan aksi final bakal berlangsung pada 31 Ogos, iaitu ketika rakyat Malaysia sedang meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-68.
Justeru, sambutan itu pasti akan menjadi lebih bermakna sekiranya wira-wira negara yang sedang menggalas misi cukup besar di Paris nanti dapat menghadiahkan gelaran juara dunia kepada rakyat Malaysia.
Memang benar ia bukanlah satu misi yang boleh dipandang enteng memandangkan semua pemain terbaik dunia akan ‘berkampung’ di situ.
Bagaimanapun, penulis percaya serta yakin dengan kemampuan barisan pemain negara, tidak kira sama ada yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahupun bergerak secara profesional.
Jika dinilai pada prestasi semasa pemain-pemain negara, tidak mustahil sekiranya kita dapat melakar sejarah baharu arena sukan tanah air, iaitu dengan membawa pulang dua gelaran dunia dari bumi Paris.
Beregu lelaki pastinya menjadi sandaran utama Malaysia bagi merealisasikan impian tersebut kerana dibarisi empat gandingan terbaik negara menerusi Aaron-Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Arif Junaidi-Yap Roy King.
Legenda badminton tanah air, Datuk Razif Sidek percaya kehadiran empat gandingan dalam acara beregu lelaki itu mampu memberi kelebihan kepada kem Malaysia dalam misi memburu gelaran dunia.
Beliau menjadikan Aaron-Wooi Yik yang merupakan gandingan No.2 dunia ketika ini sebagai pilihan untuk mengulangi pencapaian cemerlang tiga tahun lalu, sekali gus menjadi juara dunia buat kali kedua.
“Pertama sekali kita perlu tengok dari segi laluan dan bagi saya ia satu perkembangan yang bagus kerana kita mendapat bye. Selain itu, kita juga memiliki empat wakil (beregu lelaki), jadi harap dapat jadi juara dunia.
“Peluang terbaik memang menerusi Aaron-Wooi Yik kerana dari segi prestasi, mereka sangat cemerlang tahun ini. Bagi saya, mereka memiliki peluang 80 peratus untuk mara ke final dan menjadi juara,” katanya.
Sementara itu, pada pengamatan penulis, kita turut memiliki satu lagi wakil yang mampu melakar sensasi di Paris nanti, iaitu gandingan No.1 beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah.
Biarpun sekadar memiliki satu gelaran pada saingan musim ini, namun aksi konsisten dipamerkan menyaksikan mereka berjaya melangkah ke empat perlawanan akhir dan memenangi satu daripadanya.
Sekiranya dapat memperbaiki beberapa kekurangan yang ada, mereka berpotensi menjadi beregu wanita pertama negara menjadi juara dunia meskipun ketua jurulatih mereka, Rosman Razak enggan berfikir terlalu jauh.
“Saya masih kekal dengan pendirian bahawa setiap kejohanan sentiasa menjanjikan cabaran yang berbeza. Oleh itu, saya tidak mahu fikir terlalu jauh dan begitu juga dengan Pearly-Thinaah,” ujarnya.
Sekiranya impian ini dapat direalisasikan, sudah pasti Hari Kemerdekaan ke-68 akan menjadi salah satu sambutan yang paling diingati dan dikenang dalam lipatan sejarah negara.















