GERIK – Amalan perlu menyembah matahari masih kekal dalam ingatan Zubir Mat Dom, 90, yang hidup pada zaman pendudukan Jepun kira-kira 80 tahun lalu.
Amalan itu terpaksa dituruti bagi mengikuti kehendak tentera Jepun untuk menghormati semangat matahari dalam memacu kemaraan mereka ke serata Asia Pasifik pada awal 1940-an.
“Boleh nyanyi lagu miyo tokai no sora akete. Kami dulu diajar menghafal lagu ini. Perlu menyembah semangat matahari,” katanya di sini baru-baru ini.
Tajuk lagu itu membawa maksud Perarakan Patriotik yang perlu dihafal oleh semua penduduk termasuk murid sekolah sebaik sahaja tentera Jepun merampas Tanah Melayu daripada penjajah Inggeris.
Jelasnya, pada peringkat permulaan, tentera yang memasuki Tanah Melayu bukanlah sepenuhnya warga Jepun sebaliknya merupakan tawanan perang mereka di Manchuria (utara China) yang dijadikan buruh askar.
“Askar buruh ini ganas. Suka menggertak penduduk menggunakan senapang benet. Semasa kehadiran mereka, semua penduduk melarikan diri. Keadaan masa itu tidak menentu dan semua ketakutan.
“Waktu itu saya masih bersekolah. Belajar pun bawah pokok,” katanya yang berusia tujuh tahun dan merupakan anak sulung daripada 10 beradik ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, tentera Jepun tidak mengganggu amalan beragama pada masa itu dan umat Islam masih bebas untuk bersolat di surau.
“Cuma mereka mahukan padi. Sumber makanan ketika itu agak terhad. Air teh pun dibuat menggunakan daun kopi,” katanya yang sering dipanggil Pak Long.
Zubir kini tinggal di Kampung Gerik bersama anak-anak sejak kematian isteri dan kadangkala masih berkudrat menoreh getah. -KOSMO! ONLINE