TEL AVIV – Angkatan Bersenjata Yemen melancarkan operasi ketenteraan peringkat tinggi yang menyasarkan Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv menggunakan peluru berpandu hipersonik semalam, lapor portal berita Al-Mayadeen.
Jurucakap kumpulan pemberontak Houthi itu, Yahya Saree berkata, objektif operasi itu berjaya dicapai selepas berjuta-juta penduduk Israel terpaksa berpindah ke tempat perlindungan dan trafik udara dihentikan seketika.
“Serangan itu dilancarkan sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin yang tertindas dan tindak balas kepada jenayah genosid, kebuluran serta pencerobohan terhadap Yemen,” kata Yahya.
Beliau turut menekankan bahawa dua tahun kekejaman Rejim Zionis terhadap rakyat Palestin membuktikan pengabaian ke atas nyawa mereka serta umat Islam.
Tentera Israel semalam berkata, peluru berpandu itu mencetuskan siren kecemasan di seluruh Israel termasuk Tel Aviv dan Baitulmuqaddis selepas dilancarkan dari Yemen semalam.
Beberapa sumber menyatakan bahawa siren amaran berbunyi di lebih 200 lokasi susulan peluru berpandu tersebut.
Yemen telah melancarkan 70 peluru berpandu ke Israel dalam tempoh lima bulan sejak mereka melanggar gencatan senjata di Gaza, demikian menurut media tempatan. – AGENSI