fbpx
Dua pemancing yang dikhuatiri hilang berjaya ditemui pasukan Maritim Malaysia di Pulau Kendi, awal pagi tadi.

Hampir 5 jam operasi cari dua pemancing di Pulau Kendi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Dua lelaki yang dikhuatiri hilang selepas keluar memancing di perairan Pulau Kendi di sini, semalam ditemui selamat selepas bot yang mereka naiki dikatakan mengalami kerosakan pada enjin.

Kedua-dua mangsa berusia 34 dan 64 tahun itu ditemui dalam keadaan bersauh di kedudukan 15 batu nautika barat Pulau Kendi pada pukul 3.00 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, pihaknya telah menerima aduan awam berhubung kehilangan dua rakan yang dipercayai menaiki bot pemancing pada pukul 10.30 malam tadi.

“Kedua-dua mangsa dilaporkan akan pulang ke rumah pada 17 Ogos (semalam), setelah keluar untuk memancing pada pukul 10 pagi hari yang sama. Namun, sehingga malam tadi, dua kru tersebut tidak dapat dihubungi dan dikhuatiri telah hilang di laut.

“Sejurus menerima maklumat, aset penguat kuasa dikerahkan serta-merta malam tadi bagi operasi pencarian awal dua kru terbabit di sekitar koordinat terakhir bot pemancing.

“Operasi pencarian yang menjangkau hampir lima jam akhirnya membuahkan hasil apabila kedua-dua pemancing berkenaan ditemui dalam keadaan bersauh di kedudukan 15 batu nautika barat Pulau Kendi pada jam 3.00 pagi tadi,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, mangsa ditemui dalam keadaan sihat dan stabil dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot pemancing tersebut mengalami kegagalan enjin sehingga menyebabkan mereka tidak dapat pulang ke rumah.

“Justeru, anggota penguat kuasa memberikan bantuan sewajarnya dan bot pemancing itu berjaya dihidupkan semula dan diiringi sehingga merapat di Jeti Limbungan Batu Maung,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI