fbpx
YAMAL (kanan) berada dalam kelas tersendiri memastikan kemenangan Barcelona ke atas Mallorca. - AFP

Flick kecewa Barcelona tak ‘pesta gol’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARCELONA – Juara bertahan, Barcelona memulakan kempen musim baharu La Liga dengan kemenangan 3-0 ke atas Real Mallorca dalam aksi pertama di Estadi Mallorca Son Moix awal pagi semalam.

Begitupun, ketua jurulatihnya, Hansi Flick tetap meluahkan kekecewaan disebabkan kegagalan anak-anak buahnya menang lebih besar kerana beraksi hampir sejam menentang Mallorca yang bermain dengan sembilan orang.

Mallorca ditimpa malang hilang dua pemain dalam tempoh enam minit selepas Manu Morlanes dan Vedat Muriqi masing-masing dilayangkan kad merah pada minit ke-33 serta 39.

“Tiga mata ini penting, tetapi saya tidak suka cara kami bermain. Selepas mendahului dua gol dan lawan beraksi dengan sembilan orang, pasukan hanya bermain pada tahap 50 peratus,” kata Flick.

Raphinha membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh selepas menanduk masuk hantaran silang daripada Lamine Yamal sebelum Ferran Torres menggandakan kedudukan buat Barcelona pada minit ke-23.

Kekecohan tercetus apabila Mallorca berang dengan keputusan pengadiltidak menghentikan permainan selepas Antonio Raillo terjatuh, namun Flick merasakan pasukannya hanya meneruskan arahan asas iaitu bermain hingga wisel ditiup.

Tidak lama kemudian, Morlanes dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari Yamal sebelum Muriqi turut diusir keluar kerana mengangkat kaki terlalu tinggi hingga terkena muka penjaga gol, Joan Garcia.

Malangnya, Barcelona terpaksa menunggu sehingga penghujung perlawanan untuk menambah gol ketiga melalui larian solo daripada Yamal yang kemudiannya melepaskan rembatan lencong ke penjuru gawang Mallorca. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI