PETALING JAYA – Feruni yang sentiasa ke hadapan dan dikenali sebagai perintis dalam mengubah landskap industri jubin di negara ini, meneruskan usahanya untuk mencari kelainan dengan menyuntik elemen seni dalam keluaran koleksi jubin terbaharunya di pasaran.
Kini syarikat telah bekerjasama secara kreatif dengan artis tempatan untuk memperkenalkan rangkaian koleksi jubin yang memukau.
Koleksi terbaharu ini memfokuskan kepada keyakinan tentang seni yang bukan sekadar estetik tetapi juga sebuah kuasa yang menghubungkan, mengekspresikan dan mengubah, untuk dirasai serta dihayati setiap hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Feruni, Datuk C.C. Ngei berkata, kerjasama ini melangkaui aspek reka bentuk, memberi impak kepada masyarakat dan mempengaruhi cara membentuk ruang hidup serta bekerja.
“Koleksi baharu ini mengangkat falsafah The Art and The Artist yang meraikan gabungan kreativiti dan pertukangan halus.
“Setiap karya bukan sahaja mempamerkan inovasi reka bentuk dan ekspresi seni, malah membawa perspektif unik para artis, menjadikan setiap jubin sebagai hasil seni yang penuh nilai,” katanya.
Beliau berkata demikian bersempena majlis pelancaran koleksi terbaharu produk Feruni di sini baru-baru ini.
Koleksi terbaharu yang mengangkat falsafah The Art and The Artist yang meraikan gabungan kreativiti dan pertukangan halus serta setiap karya bukan sahaja mempamer inovasi reka bentuk dan ekspresi seni, malah membawa perspektif unik para artis, menjadikan setiap jubin sebagai hasil seni yang penuh nilai.
Syarikat telah bekerjasama dengan Pengasas Novak Batik, Farah Mohan memperkenalkan koleksinya, Tutur Alam untuk menghidupkan semula jiwa batik tradisional dengan sentuhan kontemporari.
Diilhamkan oleh lagu rakyat Melayu Bangau Oh Bangau, koleksi ini berpusat pada karya naratif yang disokong oleh tiga reka bentuk modular.
Dihasilkan bersama Studio Feruni, setiap rekaan mengalunkan ritma lagu tersebut melalui bentuk abstrak yang mencerminkan alam, kenangan dan emosi.
Kerjasama lain pula adalah bersama Loka Made, dengan koleksi Mosaic of Harmony.
Ia memperkenalkan koleksi mural yang mengabadikan semangat Malaysia melalui ilustrasi penuh butiran yang menggambarkan keharmonian budaya, detik harian dan identiti bersama.
Karya mural berukuran 2.4m x 6m ini, dihasilkan oleh Studio Feruni menggunakan teknik ukiran tangan yang rumit, telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Mural Ukiran Jubin Terbesar di Malaysia. -KOSMO! ONLINE