KUALA LUMPUR – Sebanyak 24 tangkapan kes bagi cubaan penyeludupan haram daging babi digagalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) melibatkan kuantiti dagangan sebanyak 640 tan metrik, sepanjang 2024 hingga Julai 2025.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kawalan pengimportan dilaksanakan oleh Maqis adalah melalui
mekanisme pemeriksaan dokumen termasuk keperluan import permit dan sijil kesihatan veterinar serta pemeriksaan fizikal kontena di pintu masuk sempadan negara.
Menurutnya, selain itu, persampelan terhadap produk khinzir juga dijalankan bagi memastikan produk tersebut bebas daripada sebarang penyakit sebelum dibenarkan masuk.
“Bagi membendung penyeludupan yang berlaku di luar pintu masuk negara, perkara ini ditangani oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar DVS terutamanya melalui kerjasama strategik, seperti rondaan dan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain.
“Ini termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat menjawab soalan Tuan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) tindakan penguatkuasaan Maqis ke atas pengimportan dan penyeludupan haram daging babi dari luar negara susulan wabak Streptococcus suis dan African Swine Fever.
Arthur berkata, selain itu, sebanyak 18 kes rampasan pemindahan karkas babi tanpa kebenaran dan rampasan di premis jualan atau simpanan babi sejuk beku disyaki diimport tanpa kebenaran telah dibuat oleh DVS.
Katanya, rampasan tersebut dibuat di negeri Kelantan, Selangor, Johor , Kedah, Pulau inang, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan sepanjang tempoh yang sama.
“Jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 114 tan metrik karkas dengan nilai anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM 3.05 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE