MELAKA – Polis negeri mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seekor anjing dipercayai didera secara kejam apabila kulit badannya didakwa disiat hidup-hidup di tepi Jalan PK 18, Kawasan Perindustrian Krubong, di sini kelmarin.
Keadaan menyayat hati haiwan itu turut dikongsikan Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menerusi satu klip berdurasi 20 saat yang dimuat naik di Facebook pada 17 Ogos.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan telah dibuat oleh pengadu bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) haiwan pada pukul 2.43 petang, semalam.
“Pengadu iaitu seorang saksi awam memberitahu dia menemui anjing berkenaan dua hari lalu dalam keadaan leher dan bahagian badan belakangnya disiat kulit dipercayai akibat didera.
“Dia yang biasa memberi makan anjing jalanan di kawasan tersebut bertindak menghantar haiwan itu ke klinik veterinar untuk rawatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Christopher berkata, hasil pemeriksaan oleh doktor veterinar mendapati kecederaan dialami haiwan tersebut adalah sangat kritikal dan terpaksa ditidurkan (eutanisia) bagi mengelak penderitaan berpanjangan.
“ Kes disiasat mengikut Seksyen 29, Akta Kebajikan Haiwan 2015. Orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Risal Kiraman di talian 013-7702523,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.