MADRID – Suruhanjaya Eropah mengerahkan pesawat pemadam kebakaran ke Sepanyol, di mana sekurang-kurangnya tujuh orang maut ketika 14 kebakaran hutan marak berlaku di tengah-tengah gelombang haba di Eropah, lapor agensi berita United Press International.
Pengumuman itu dibuat selepas seorang sukarelawan bomba meninggal dunia Khamis lalu ketika memadam kebakaran di wilayah Castile dan Leon, utara Sepanyol.
Sebanyak tujuh orang maut dalam kebakaran hutan Sepanyol di sepanjang kawasan pantai utara negara itu, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
“Sukarelawan kedua kehilangan nyawa di Leon,” kata Perdana Menteri, Pedro Sanchez.
Seorang lagi sukarelawan bomba meninggal dunia Selasa lalu, manakala seorang lelaki tempatan maut ketika cuba menyelamatkan kuda dari kandang yang terbakar berhampiran Madrid, Isnin lalu.
Sanchez kelmarin berkata, keadaan kebakaran hutan kekal ‘sangat sukar’ ketika agensi cuaca kebangsaan Sepanyol melaporkan risiko kebakaran melampau di utara dan barat negara itu.
Perkhidmatan cuaca meramalkan suhu tertinggi 40 darjah Celsius di negara itu, di mana beberapa kebakaran hutan bergabung menjadi satu kebakaran. Ia telah menutup beberapa lebuh raya di rantau tersebut serta menghentikan perkhidmatan kereta api di barat laut.
Selain Sepanyol, kebakaran hutan turut dilaporkan di Portugal, Perancis, Greece dan negara-negara Balkan.
Kesatuan Eropah melaporkan 6,291 kilometer persegi tanah terbakar setakat tahun ini, manakala kebakaran hutan Sepanyol menyumbang lebih 1,553 kilometer persegi daripada jumlah itu. – AGENSI