LONDON – Beberapa pesawat digantung operasi selepas dua pesawat milik syarikat EasyJet berlanggar pada bahagian sayap ketika ia bersiap sedia untuk berlepas di sebuah lapangan terbang di England, lapor akhbar The Guardian.
Kejadian berlaku sekitar pukul 6.30 pagi (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Manchester semalam.
Pelanggaran itu melibatkan penerbangan EZY2267 dari Manchester ke Gibraltar serta EZY2117 ke Charles de Gaulle di Paris.
Kesemua penumpang selamat dibawa turun selepas dua pesawat itu dibawa ke tempat letak kapal terbang.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Seorang penumpang bernama Tynisha Chaudhry menyifatkan hentakan daripada pertembungan itu terlalu kuat sehingga menggegarkan seluruh pesawat.
Jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Manchester berkata: “Sayap kedua-dua pesawat berlanggar semasa bergerak ke landasan pagi ini (kelmarin). Semua penumpang diturunkan selepas pesawat-pesawat itu kembali ke tempat letak kapal terbang.”
Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian. – AGENSI