PONTIAN – Menjelang Sambutan Hari Kemerdekaan, Rumah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) daerah Pontian di Jalan UMNO, disini, meriah dengan aktiviti gotong royong bagi menghiasi rumah tersebut.
Setiausaha PAWE Daerah Pontian, Tumiran Parlan berkata, kerja-kerja menghiasi persekitaran rumah tersebut dilakukan sebaik sahaja memasuki bulan Ogos dua minggu lalu.
Katanya, kerja-kerja tersebut diketuai oleh Penolong Penyelia Rumah PAWE, Mustafa Johari yang memasang Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor disekeliling kawasan selain elemen hiasan lain.
Menurut Tumiran, sebanyak 400 Jalur Gemilang samada kecil atau besar, 150 bendera Johor kecil dan besar mewarni Rumah PAWE yang telah berusia lebih 60 tahun merupakan bekas kuarters kakitangan kerajaan.
“ Rumah PAWE ini merupakan johan pertandingan hiasan bangunan sempena sambutan Hari Kemerdekaan bagi tahun 2023 dan 2024, kategori NGO dan Swasta, tahun ini kami akan bertanding lagi,” katanya ketika ditemui disini, hari ini.
Katanya, Rumah PAWE Pontian yang juga dikenali sebagai PAWE Gemilang Pontian mempunyai seramai 600 ahli terdiri daripada warga emas dikalangan pesara kerajaan, swasta dan orang awam. – KOSMO! ONLINE