JERANTUT – Seorang remaja perempuan maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Outlander dinaiki bersama keluarganya bertembung dengan sebuah lori membawa muatan sawit di Kilometer 8 Jalan Jerantut-Tembeling di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Azahari Muhktar berkata, kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu berlaku ketika mangsa, Aimy Nur Batrisyia Ahmad Sobri,14, bersama ibu dan dua adiknya yang menaiki kereta dipandu bapanya dalam perjalanan dari bandar Jerantut menghala ke Kuala Tembeling.
“Apabila sampai di tempat kejadian lori dari arah bertentangan yang sedang bergerak di jalan selekoh dan menuruni bukit dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan SUV dinaiki mangsa.
“Akibat kemalangan ini seorang penumpang remaja perempuan SUV meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan tiga lagi penumpang SUV mengalami kecederaan,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pemandu lori yang berumur 35 tahun mengalami kecederaan ringan.
Menurut Azahari mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Ujarnya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan selekoh dan berbukit dan semasa kejadian tahap pencahayaan terang serta cuaca baik.- KOSMO! ONLINE