fbpx
Baharuddin berkata, dalam masyarakat Melayu, perbincangan soal harta pusaka sejurus selepas kematian sering dianggap tidak sopan atau tamak. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

Pusaka: Hapuskan stigma ‘kubur masih merah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Konflik atau pergaduhan dalam kalangan waris dikenal pasti antara punca utama kelewatan penyelesaian tuntutan harta pusaka.

Keadaan itu boleh tercetus apabila ada yang tidak bersetuju dengan peratusan pembahagian faraid kerana sumbangan yang diberi ketika menjaga si mati sangat besar berbanding waris lain.

Antara punca lain, stigma masyarakat yang menganggap tidak wajar atau tidak menghormati si mati jika membincangkan soal pembahagian harta sejurus selepas kematian.

Kesulitan yang didedahkan oleh Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) ini, turut menjadi punca berlaku tuntutan berlapis yang rumit untuk diselesaikan.

Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Marlia Zakaria bersama Pengarah Bahagian Pembahagian Pusaka, JKPTG, Baharuddin Aziz bagi mengupas isu ini dengan lebih lanjut.

KOSMO!: Apakah punca utama kelewatan dalam proses penyelesaian tuntutan harta pusaka?
Baharuddin Aziz: JKPTG berdepan dengan masalah pergaduhan antara waris sendiri dan itu antara punca paling tinggi berlakunya kelewatan dalam proses membuat tuntutan.

Adakalanya, walaupun jumlah waris tidak ramai, contohnya hanya tiga orang, tetapi jika seorang tidak mahu bekerjasama, seluruh proses boleh tergendala. Kebiasaannya pergaduhan tercetus apabila timbul rasa tidak puas hati dengan pembahagian faraid yang ditetapkan.

Pertikaian boleh berlaku apabila ada waris yang mengambil tanggungjawab menjaga si mati ketika hayatnya, namun apabila pembahagian dibuat mengikut fa­raid, bahagian jumlah yang diperolehnya le­bih kecil berbanding adik-beradik atau waris lain yang ‘lepas tangan’.

Keadaan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati dan dendam menyebabkan mereka bukan sahaja tidak hadir perbicaraan atau tidak menandata­ngani Borang Persetujuan (DDA), malah sengaja melengah-lengahkan proses dan membiarkan fail tertangguh di JKPTG sebagai tanda ‘balas dendam’ dan berniat untuk ‘mengajar’ waris terbabit.

Selain pergaduhan, apakah faktor lain yang menyebabkan proses tuntutan lambat?
Tindakan waris yang tidak hadir ke perbicaraan walaupun telah diberi notis juga antara punca kelewatan proses tuntutan.

Adakala pihak kami terpaksa ‘memanggil’ beberapa kali, malah dalam sesetengah kes hanya sebahagian waris hadir, manakala yang tidak hadir pula, tidak mengisi borang DDA untuk menentukan cara pembahagian yang dipersetujui oleh semua waris.

Kelewatan juga berlaku apabila waris hanya memohon tuntutan selepas tempoh bertahun-tahun dan biasanya apabila ada desakan kewangan, tanah mahu dijual atau terlibat dengan pengambilan balik tanah oleh kerajaan (pampasan tanah).

Ketika itu, mungkin sudah berlaku kematian berlapis, jumlah waris dan generasi bertambah menyebabkan dokumen diperlukan semakin sukar dikumpulkan. Hakikatnya, proses boleh selesai hanya dalam tempoh empat bulan bagi kes tanpa masalah (persetujuan waris) bersama dokumen lengkap.

Bagaimana stigma ma­syarakat memberi kesan kepada kelewatan tuntutan?
Dalam masyarakat Melayu, membincangkan soal harta pusaka sejurus selepas kematian sering dianggap tidak sopan atau tamak. Stigma ini telah wujud sejak dahulu sehingga kini menyebabkan ramai yang bimbang dilihat tidak menghormati si mati, lalu menangguhkan perbincangan.

Hakikatnya, waktu selepas pengebumian dilakukan adalah masa terbaik untuk memulakan proses perbincangan kerana ketika itu kebiasaannya semua waris pulang berkumpul.

Pada waktu ini, dokumen seperti kad pengenalan, sijil kematian, dan maklumat tanah lebih mudah dikumpul. Namun, apabila stigma itu masih lagi wujud, ia menjadi punca utama perbincangan ditangguhkan sekali gus menyebabkan risiko kematian berlapis meningkat, waris bertambah, dan dokumen hilang atau sukar diperoleh menjadikan proses lebih panjang dan rumit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI