JOHOR BAHRU – Seorang pesara guru wanita umpama jatuh ditimpa tangga selepas kerugian wang berjumlah RM467,237 akibat diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud serta penipuan khidmat guaman.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa yang berusia 60 tahun berhubung kejadian itu, kelmarin.
Katanya, mangsa terlihat satu iklan berhubung pelaburan yang menjanjikan keuntungan sehingga 94 peratus dalam tempoh sehari di laman sosial Facebook ketika berada di kediamannya di Ulu Tiram, 17 Jun lalu.
“Tertarik dengan tawaran berkenaan, mangsa hubungi nombor telefon tertera sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp berkaitan pelaburan saham. Antara 17 Jun hingga 26 Jun lalu, mangsa telah membuat 20 transaksi berjumlah RM286,337 ke dalam beberapa akaun bank berbeza milik individu tempatan.
“Tetapi apabila mangsa cuba mengeluarkan wang didakwa sebagai keuntungan, dia diminta membuat pembayaran tambahan menyebabkan mangsa menyedari telah ditipu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, mangsa kemudian cuba mendapat khidmat guaman untuk membantu mendapatkan semula wang yang dilaburkan, sebelum dia dihubungi seorang individu mengaku sebagai wakil firma guaman.
“Mangsa diajar cara-cara untuk mendapatkan semula wang, namun perlu membuat bayaran pengurusan terlebih dahulu. Mangsa kemudian membuat tujuh transaksi berjumlah RM180,900 ke tujuh akaun berbeza. 23 akaun yang terlibat dalam kes ini mempunyai kaitan dengan 24 rekod penipuan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE















