PETALING JAYA – Penguatkuasaan perlindungan penyu mesti dilaksanakan dengan tegas bagi mengelakkan aktiviti pencerobohan atau ancaman lain yang menjejaskan kelestarian spesis terbabit.
Ini kerana kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, langkah itu bagi memastikan penyu terus membiak.
Sekali gus katanya menjadi khazanah laut yang kekal dinikmati generasi akan datang.
“Kita semua bertanggungjawab memelihara biodiversiti marin negara.
“Insya-Allah dengan kerjasama kerajaan, komuniti nelayan dan masyarakat setempat, khazanah laut kita akan terus terpelihara dan memberi manfaat kepada rakyat,” tulisnya pada hantaran di laman Facebook.
Terdahulu, Mohamad memaklumkan, beliau telah menyaksikan program pelepasan 68 anak penyu dan dua ekor penyu berusia lima tahun yang dilengkapi alat pengesan di Pusat Konservasi dan Perlindungan Penyu (PKPP) Teluk Ketapang, Pangkor, Perak semalam. – KOSMO! ONLINE.














