CHICAGO – Penantian panjang Khamzat Chimaev untuk merebut tali pinggang kejuaraan pertamanya di pentas UFC akhirnya berakhir apabila bakal menentang juara bertahan, Dricus du Plessis pada saingan UFC 319 di Chicago, Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Bintang berusia 31 tahun itu dianggap pencabar gelaran middleweight sejak mencipta sensasi pada 2020 dengan melakar deretan kemenangan pantas, namun kariernya terjejas akibat masalah kesihatan dan visa.
Kini, Chimaev membawa rekod tanpa kalah untuk berdepan du Plessis yang terkenal dengan gaya bertarung secara agresif.
“Saya datang untuk ambil alih kemenangan dan pergi,” kata Chimaev pada sidang akhbar yang diadakan Khamis lalu.
Kedua-dua petarung terbaik itu melepasi syarat timbangan 83 kilogram kelmarin, sekali gus menjanjikan pertembungan sengit memburu gelaran di UFC 319.
Chimaev mencuri perhatian apabila melakukan debut bergaya pada Julai 2020, menundukkan John Phillips sebelum menumbangkan Rhys McKee berselang 10 hari kemudian selain dia turut ‘merebahkan’ Gerald Meerschaert hanya dalam tempoh 17 saat.
Namun, kebangkitannya terhenti seketika apabila dijangkiti Covid-19 sekitar Disember 2020 sehingga menyaksikannya hampir bersara pada Mac 2021.
Isu lain muncul apabila dia gagal dalam timbangan berat untuk perlawanan menentang Nate Diaz di UFC 279 pada 2022.
Kariernya sekali lagi terganggu selepas gagal mendapatkan visa memasuki AS apabila dia dikaitkan dengan pemimpin Republik Chechnya, Ramzan Kadyrov.
Chimaev akhirnya membuat keputusan berpindah ke Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan mendapat kerakyatan UAE sebelum akhirnya dibenarkan kembali ke AS tahun ini. – AGENSI