OTTAWA – Semua pesawat Air Canada digantung operasi bermula semalam ketika kerajaan Kanada mengambil langkah tegas untuk menamatkan mogok yang disertai ribuan kru kabin berhubung pertikaian gaji.
Selain menjejaskan 130,000 penumpang, beratus-ratus penerbangsan terpaksa dibatalkan sehingga petang hari ini dan mencetuskan kekacauan perjalanan di seluruh negara.
Seramai 10,000 pekerja termasuk pramugari dan pramugara menyertai mogok itu selepas tidak berpuas hati dengan perjanjian pekerja yang baharu.
Menteri Dasar Buruh, Patty Hajdu memaksa Air Canada dan Kesatuan Pekerja Awam Kanada (CUPE) untuk melakukan rundingan perjanjian kolektif baharu.
“Ia bukan keputusan yang saya ambil ringan. Kesan negatif terhadap rakyat Kanada dan ekonomi kita terlalu besar,” kata Hajdu sambil menambah, ia mengambil masa lima hingga 10 hari untuk menyambung semula perkhidmatan mereka.
Air Canada dalam satu kenyataan berkata, semua penerbangan kekal tidak beroperasi sementara mereka menunggu keputusan oleh Lembaga Perhubungan Industri Kanada.
Penumpang yang terjejas akan ditawarkan bayaran balik secara penuh, tambahnya.
Menurut CUPE, ahlinya akan kekal dalam mogok sehingga kerajaan secara rasmi mengeluarkan perintah agar mereka kembali bekerja.
CUPE turut mengecam campur tangan kerajaan Kanada kerana didakwa memberi ganjaran kepada Air Canada selepas syarikat itu enggan berunding secara adil. – AFP