KUALA SELANGOR – Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan lemas di pesisir pantai Parit 3, Jalan Pantai, Tanjong Karang di sini, semalam.
Mayat mangsa berusia 38 tahun yang berpakaian lengkap itu ditemukan orang awam di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan, kira-kira pukul 1 petang.
“Tiada sebarang unsur jenayah dikesan pada tubuh lelaki itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Azaharudin, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi proses bedah siasat dengan punca kematian mangsa akibat mati lemas.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Sub Inspektor Che Abdul Hamid di talian 03-3269 8222 atau balai polis berdekatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE