PETALING JAYA – Siasatan berhubung kes melibatkan anak lelaki kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kini telah diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, langkah itu diambil selaras dengan keperluan siasatan yang lebih menyeluruh dan berpusat.
“Penyerahan kes ini kepada JSJ Bukit Aman bertujuan memastikan setiap sudut siasatan dapat dijalankan secara teliti serta berlandaskan prinsip keadilan dan ketelusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes terbabit agar tampil membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan sempurna,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan dalam kejadian pada pukul 2 petang Rabu lalu, anak Ahli Parlimen Pandan berusia 12 tahun itu, diserang dua individu yang menaiki motosikal.
Shazeli dilaporkan berkata, kejadian berlaku di tempat menurunkan dan mengambil penumpang di pusat beli-belah berkenaan. – KOSMO! ONLINE