AMPANG JAYA – Gara-gara tidak berpuas hati selepas terlepas tarikh temu janji klinik, seorang lelaki berusia 61 tahun ditahan polis kerana mengugut serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang doktor dalam kejadian di Hospital Ampang, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian berlaku pada 12 Ogos lalu kira-kira pukul 1.15 petang ketika mangsa berusia 30 tahun sedang bertugas di kaunter saringan Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.
“Suspek telah mengeluarkan kata-kata kesat serta bertindak agresif dengan cuba menerkam dan memukul muka mangsa kerana tidak berpuas hati apabila diberikan tarikh baharu temu janji klinik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek di kawasan Cheras, Kuala Lumpur pada 13 Ogos kira-kira pukul 2.20 petang.
“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya minggu ini bagi arahan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – KOSMO! ONLINE