KUALA LUMPUR – Jaguh lompat jauh negara, Andre Anura Anuar menghidupkan semula reputasinya apabila merekod catatan 7.70 meter (m) dalam Kejohanan Silk Road to Tokyo di Tashkent, Uzbekistan semalam, sekali gus melayakkan dirinya ke kategori A Sukan SEA Thailand 2025.
Ia bukan sahaja mengatasi catatan pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kemboja 2023 dari Indonesia, Sapwaturrahman (7.67m), malah memberi isyarat atlet berusia 26 tahun itu sudah kembali ke landasan terbaik untuk terus menyerlah di pentas antarabangsa.
Andre, 26, mendedahkan lompatan kelimanya hampir mencecah jarak 8m tetapi dibatalkan, namun dia lega apabila menebusnya pada percubaan terakhir untuk merekod catatan tahunan terbaik.
“Kalau ikutkan jarak ini sudah lepas kategori A ke Sukan SEA (pada Disember nanti). Cuma masih belum tahu sama ada fokus kedua-dua acara (lompat kijang) atau satu sahaja.
“Saya agak berpuas hati dengan keputusan, lagipun ini adalah kejohanan kedua saya untuk acara lompat jauh tahun ini,” ujarnya.
Atlet dari Tenom, Sabah itu tetap gembira dengan jarak tersebut meskipun ia masih jauh dengan rekod kebangsaan, 8.02m yang diciptanya ketika meraih pingat perak Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
“Perancangan tahun ini adalah cuba pastikan dia (Andre) bersaing dalam kedua-dua acara. Kita nak dia beri yang terbaik lompat jauh dan masa sama pertahan (pingat emas) lompat kijang.
“Ini petanda bagus buat Andre ke Sukan SEA. Sekarang kita akan alihkan fokus ke Terbuka Malaysia hujung bulan ini,” kata jurulatihnya, Ahmad Firdaus Salim.
Sebagai rekod, Andre merupakan juara bertahan Sukan SEA dalam acara lompat kijang selepas memenangi pingat emas pada edisi Vietnam 2021 dan Kemboja 2023. – KOSMO! ONLINE