KUALA LANGAT – Seramai 948 pegawai bomba berjaya menurun berat badan menerusi program Program Pengurusan Berat Badan (IFitEr).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia merupakan 80.3 peratus daripada 1,181 pegawai bomba yang mempunyai faktor risiko berlebihan berat badan dan obesiti yang menyertai IFitEr.
Katanya, program selama enam bulan itu dijalankan di Wellness Hub seluruh negara.
“Hasil program turut menunjukkan 260 pegawai atau 27 peratus pegawai terlibat berjaya mencapai Indeks Jisim Tubuh ideal.
“Manakala 1,098 pegawai atau 93 peratus pegawai terlibat dengan program tersebut berjaya meningkatkan kecergasan serta produktiviti kerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wellness Hub Kuala Langat di sini hari ini.
Menurutnya, susulan kejayaan itu Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menandatangani Nota Kerjasama bagi mengukuhkan lagi komitmen kedua-dua pihak.
Tambahnya, kerjasama itu termasuk melaksanakan aktiviti kesejahteraan kesihatan di semua fasiliti JBPM termasuk Akademi Bomba dan Pengkalan Udara Bomba di seluruh negara.
“Ini selaras frasa “All Sector is Health Sector” dengan sokongan rakan strategik termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin komuniti serta seluruh masyarakat untuk merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara dengan rakyat yang sihat dan sejahtera,” katanya. – KOSMO! ONLINE