SUNGAI GOLOK, THAILAND – Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire bernombor pendaftaran Malaysia antara 13 aset yang disita dalam operasi besar-besaran menumpaskan sindiket penyeludupan dadah di sempadan sejak dua hari lalu.
Jurucakap polis daerah berkata, operasi khas itu dilaksanakan secara serentak di lima lokasi sekitar Sungai Golok pada Khamis membabitkan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9, Polis Wilayah 9 dan Pusat Operasi Khas Wilayah Sempadan Selatan.
Katanya, dalam operasi itu, beberapa suspek berjaya ditahan, manakala selebihnya melarikan diri dan gerakan memburu mereka sedang giat dijalankan.
“Operasi itu dilaksanakan susulan penahanan seorang pengedar dadah dipercayai mengedar syabu seberat 650 kilogram (kg) oleh Bahagian Siasatan Wilayah 9 Polis Wilayah di Ban LuBo Kong, Mukim Pasemas, Sungai Golok, bulan lalu.
“Sebanyak 13 aset bernilai hampir RM2 juta dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah termasuk empat kenderaan mewah, motosikal berkuasa tinggi dan dua buah jet ski dirampas.
“Selain senjata api, salah sebuah MPV mewah yang dirampas itu menggunakan nombor pendaftaran Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, pihak berkuasa Thailand akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dalam mengembangkan siasatan berkaitan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan.
Menurutnya, polis juga sentiasa memantau kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang aktif di sekitar daerah ini. – KOSMO! ONLINE