PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengadakan lawatan ke Nagasaki, Jepun pada 8 hingga 11 Ogos lalu bagi memperingati ulang tahun tragedi letupan bom atom di bandar tersebut.
Laman Facebook beliau memaklumkan, lawatan dimulakan di Muzium Memorial Nagai Takashi yang mengabadikan kisah seorang doktor radiologi di Nagasaki Medical College.
“Dr. Nagai Takashi kehilangan isteri dalam letupan bom atom. Meskipun berdepan kesedihan mendalam dan menghidap leukemia akibat radiasi, beliau tetap tabah merawat mangsa-mangsa yang cedera parah.
“Kisah hidupnya menjadi lambang kemanusiaan dan keberanian dalam menghadapi musibah,” kata laman Facebook tersebut hari ini.
Menurut laman Facebook itu, Dr. Mahathir turut menyampaikan ucapan serta berdialog bersama belia di Youth Peace Forum dengan menegaskan kepentingan memelihara keamanan dan menyelesaikan konflik melalui perbincangan, bukan peperangan.
Dr. Mahathir juga berkesempatan melawat Memorial Pengeboman Nagasaki yang merupakan tapak bom atom dijatuhkan dan bertemu dua orang mangsa yang masih hidup bersama Presiden Shigemitsu Tanaka, penerima Hadiah Nobel Keamanan.
“Sebagai penutup lawatan, Tun Dr. Mahathir menerima kunjungan Datuk Bandar Nagasaki, Encik Shiro Suzuki. Nagasaki menjadi saksi bahawa peperangan hanya membawa kepada kemusnahan.
“Manakala keamanan membuka ruang kepada kemajuan dan kesejahteraan sejagat. Itulah amanah yang wajar dipertahankan dan diwariskan demi masa depan generasi seterusnya,” kata laman Facebook tersebut. – KOSMO! ONLINE