KUALA TERENGGANU – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memberi kerjasama penuh berhubung penahanan pegawainya kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan di selatan tanah air baru-baru ini.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Tengku Datuk Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi soal pengkhiatan tersebut.
Katanya, perbuatan menyalahgunakan kuasa bukan sahaja mengkhianati negara, malah mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Apa yang ditekankan apabila masuk (perkhidmatan) tentera, kita ada ikrar satria antaranya menjaga rahsia negara seketat-ketatnya.
“Perbuatan itu bukan sahaja memberi imej buruk kepada mereka, bahkan organisasi tentera,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Penutup Kursus Asas Pasukan Atur Gerak Cepat (Apac) Siri 2/2025 di sini hari ini.
Menurut beliau, penglibatan pegawai kanan tentera dalam sindiket penyeludupan dikhuatiri boleh menyebabkan kesetiaan dan perkhidmatan ATM terhadap negara diragui masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, semua pihak terlibat walaupun berpangkat tinggi dalam ATM harus dikenakan tindakan mengikut undang-undang awam dan ketenteraan sekiranya benar-benar bersalah.
Khamis lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi lima pegawai kanan ATM dalam Ops Sohor di selatan tanah air. – KOSMO! ONLINE