NAIB juara Piala FA musim lalu, Selangor FC harus mengelak daripada ‘menjemput kecaman’ dan harus memenuhi status selaku salah satu pasukan yang berhak untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala FA, musim ini.
Pada saingan kali ini, The Red Giants yang membawa harapan untuk mengulangi kejayaan mara ke final akan memulakan saingan menentang wakil Liga A1 Semi Pro, Malaysian University di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan.
Pertahanannya, Quentin Cheng berkata, jurang kualiti antara kedua-dua pasukan meletakkan Selangor FC sebagai pasukan pilihan namun tidak bermakna ia bakal menjadi tugas mudah buat Gergasi Merah.
“Tiada satu pun perlawanan senang dan saya fikir kami adalah pasukan pilihan untuk meneruskan saingan. Jadi, saya harap kami mampu untuk melangkah ke final seperti musim lalu.
“Kami juga harap dapat mengharungi satu lagi minggu yang bagus,” katanya yang mencipta tiga bantuan jaringan ketika Selangor FC tewaskan DPMM FC dalam saingan Liga Super, Selasa lalu.
Bagi saingan musim lalu, Selangor FC seakan ditimpa bala apabila dibelasah 1-6 oleh juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir dan ia wajar dijadikan panduan buat pengendalinya, Katsuhito Kinoshi merangka idea lebih segar.
Cheng juga menjelaskan Selangor FC tidak boleh mengendurkan kualiti dan tidak pernah menganggap aksi dengan Malaysian University sebagai perlawanan latihan.