PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tetap membariskan skuad terbaik ketika berdepan pasukan Liga A1 Semi Pro, UM Damansara United pada aksi pusingan 16 Piala FA 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Di atas kertas, Harimau Selatan dijangka tidak berdepan tugas sukar, namun Munoz menuntut pemain untuk memberi tumpuan penuh dan tidak memandang rendah keupayaan lawan.
“Siapa pun lawan yang akan kita berdepan, saya akan menurunkan kesebelasan yang terbaik.Apa yang penting, pemain perlu memberikan persembahan terbaik mereka bagi menjamin kemenangan sekali gus memastikan slot ke suku akhir menjadi milik mereka.
“Aspek penting dalam bola sepak adalah komitmen yang dipamerkan oleh pemain tanpa mengira siapa lawan kita, sama ada pasukan kuat atau tidak,” katanya.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu turut menggesa pemain untuk mengekalkan rentak kemenangan setiap kali beraksi di laman sendiri.
“Dalam misi memburu kemenangan, JDT tidak boleh memandang rendah pasukan lawan dan pemain perlu bermain sehabis baik dalam tempoh 90 minit permainan,” katanya.
Munoz turut tidak menolak kemungkinan akan melakukan penggiliran pemain menjelang pertemuan menentang pasukan Liga A1 Semi Pro itu, namun mengesahkan siapa jua yang diturunkan adalah dianggap terbaik.