ISKANDAR PUTERI – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar untuk menumpaskan UM-Damansara United 0-5 yang bermain dengan 10 pemain pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Pada perlawanan ini, pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz membuat rombakan dalam kesebelasan utama yang berdepan Negeri Sembilan FC, Selasa lalu dan hanya mengekalkan Moussa Sidibe dalam pasukan.
Bagaimanapun, JDT yang beraksi sebagai pasukan pelawat tampak bergelut untuk mengatasi pasukan Liga A1 Semi Pro itu.
Peluang JDT terhidang mudah selepas pasukan kendalian Ridzuan Abu Shah terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas kapten, Hariz Mansor ditunjuk jalan keluar apabila dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan terjahan keras terhadap Teto Martin.
JDT dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-89 selepas Izaaq Izhan Yuswardi melakukan kekasaran terhadap Antonio Glauder dan Figueiredo tidak berdepan tugas sukar menyudahkan sepakan penalti itu.
Sebelum perlawanan tamat, pemain import JDT, Celso Bermejo yang membuat penampilan pertama dalam perlawanan itu melebarkan jaringan buat Harimau Selatan apabila meledak gol kelima pada masa kecederaan. – KOSMO! ONLINE