MELAKA – Seorang pemuda yang baru bertunang ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 27 sebuah rumah inap kondominium di Kota Syahbandar di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun bersama tunangnya, 21, difahamkan baru beberapa jam mendaftar masuk ke penginapan tersebut.
Menurut sumber, kejadian disedari penyewa lain di tingkat lapan selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari arah kolam renang di tingkat tujuh.
“Saksi kemudian ternampak objek menyerupai manusia di dalam kolam sebelum menghubungi polis. Pemeriksaan polis mengesahkan objek tersebut adalah mayat seorang lelaki dengan tangan kirinya terputus, dipercayai akibat terjatuh dari tingkat atas,” kata sumber itu.
Pasukan bomba turut dipanggil membantu mengangkat mayat sebelum dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Sumber itu berkata, sebelum kejadian, mangsa memaklumkan kepada tunangnya bahawa dia terdengar bunyi ketukan di pintu bilik dan keluar ke balkoni untuk cuba turun ke tingkat bawah.
“Bagaimanapun, dia dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam renang di tingkat tujuh. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiada kelibat individu lain di lokasi ketika kejadian,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE