PETALING JAYA – Semangat solidariti rakyat Malaysia buat Allahyarham Zara Qairina kini melangkaui sempadan negara apabila namanya bergema di Anfield, markas keramat Liverpool FC.
Dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris 2025/26 yang menyaksikan Liverpool mencatat kemenangan sensasi 4-2 ke atas Bournemouth, awal pagi tadi seorang peminat tegar The Reds dari Malaysia, Joshua Raj, mencuri tumpuan apabila mengangkat plakad bertulis #JusticeForZara #YNWA.
Aksi spontan itu mendapat ribuan reaksi di media sosial dengan netizen menyifatkan ia sebagai satu penghormatan besar buat adik Zara Qairina.
“Tq bro Joshua Raj… YNWA! #justiceforzaraQairina,” tulis Udin Jalil.
“Terbaik abang kita segak ni… terima kasih kanda Joshua Raj bawa sampai ke sana. Kita pun mau kan kemenangan buat arwah Zara,” kata Mie Suhaimie.
“Biarlah dunia tahu apa yang sedang berlaku di sini, saudaraku. Yang pasti kamu tidak akan pernah berjalan sendirian (you will never walk alone),” komen Mba Adenan.
Walaupun Anfield diraikan dengan sorakan kemenangan, momen plakad solidariti itu mengundang rasa sebak apabila kisah Zara Qairina kini turut diketahui dunia. – KOSMO! ONLINE