BATU PAHAT – Seorang pelajar perempuan mengambil kesempatan ketiadaan rakan serumah dengan membawa masuk kekasihnya untuk bermadu kasih.
Perbuatan terkutuk pasangan kekasih berusia dalam lingkungan 20-an itu terbongkar selepas rumah itu diserbu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada pukul 3.30 petang semalam.
Menurut sumber, kejadian itu dilaporkan penduduk yang sudah lama memerhatikan gelagat pasangan tersebut.
“Ketika serbuan, pelajar perempuan yang membuka pintu hanya memakai seluar pendek dan berbaju T, manakala pasangannya berkain pelekat serta berbaju berada di atas sofa.
“Hanya mereka berdua berada di dalam rumah, tiga penyewa lain keluar ke bandar. Kesempatan itu digunakan oleh pelajar tersebut dengan menghubungi kekasihnya yang tinggal berdekatan untuk datang ke situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah sumber itu, pasangan tersebut memberi alasan mereka berbincang soal pelajaran, lelaki pula memberi alasan memakai kain pelekat kerana baru selesai solat di surau berdekatan. – KOSMO! ONLINE