KOTA KINABALU – Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat menyokong kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay semalam.
Ia selepas Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman membuka kertas siasatan tatatertib (KST) ke atas Ketua Polis Daerah berpangkat Superintendan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah berpangkat Asisten Superintenden (ASP) dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
“Kami menyokong siasatan tersebut. Ini selepas dipercayai berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan siasatan kes kematian Zara Qairina anak klien kami, Noraidah Lamat.
“Gelombang ‘JusticeForZara’ di seluruh Malaysia bagi menuntut keadilan terhadap Zara tidak akan berlaku jika langkah yang sepatutnya diambil oleh pegawai penyiasat mengikut prosedur undang-undang bagi kes kematian melibatkan keadaan meragukan setelah mendapat informasi tentang kematian Zara pada 17 Julai lalu.
“Oleh itu, kami memohon agar tindakan tegas diambil terhadap pegawai-pegawai polis terbabit sekiranya terbukti berlaku ketidakpatuhan SOP siasatan,” Katanya dalam kenyataan bersama, di sini hari ini.
Barisan peguam terdiri Hamid IsNass, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh
dan Farrah Nasser berharap gelombang ‘JusticeForZara’ menjadi peringatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan semua kes kematian melibatkan keadaan yang meragukan disiasat mengikut SOP siasatan dengan efektif dan telus bermula dari tarikh penerimaan laporan maklumat pertama.
Menurut Hamid dan pasukannya, dalam masa yang sama pihaknya masih menunggu tarikh permohonan inkues diadakan seperti yang diarahkan dari Jabatan Peguam Negara baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE