KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat sebuah akaun TikTok yang dikesan menyebarkan berita tidak benar berhubung kematian pelajar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan ke atas akaun menggunakan nama @berjuanguntukzara dibuat selepas ia memuat naik kandungan tidak sahih berhubung kes tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana memuat naik kandungan berunsur hasutan yang boleh menimbulkan kebencian terhadap pihak tertentu serta kegusaran awam.
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Penularan kandungan yang tidak sahih berpotensi menjejaskan kelancaran dan keberkesanan proses sisatan oleh polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis menyeru orang ramai supaya menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab kerana boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Allahyarham Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.
Kematian remaja itu mendapat perhatian meluas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan buli. – KOSMO! ONLINE