fbpx
NORZA (kanan) menyerahkan cek sumbangan kepada Kau Kiak (tengah) di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara hari ini. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

PBA perlu lahirkan Chong Wei baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyeru Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBA) terus menjadi ‘kilang’ dalam melahirkan bakat-bakat badminton bertaraf dunia.

Norza menegaskan, sumbangan PBA cukup besar kepada badminton tanah air kerana negeri itu pernah melahirkan ramai pemain handalan negara termasuk legenda dunia seperti Datuk Seri Lee Chong Wei.

“Kalau dulu kita lihat legenda seperti Datuk Seri Lee Chong Wei tetapi banyak pemain-pemain daripada segala lapisan yang telah dihasilkan oleh PBA. Sebab itu sebagai seorang pemimpin badminton, saya sentiasa menghargai kepimpinan Datuk Lah Kau Kiak dan PBA.

“Sepanjang menjadi presiden (BAM) selama tujuh tahun, mereka telah banyak membantu terutamanya ketika saya memimpin dalam mengembangkan sukan badminton, bukan sahaja di Penang tetapi juga di seluruh Malaysia,” kata Norza.

Sebagai tanda penghargaan, Norza yang juga Pengerusi Eksekutif CitaGlobal menyampaikan sumbangan RM20,000 daripada CitaGlobal untuk meraikan sambutan ulangtahun ke-100 PBA yang diiktiraf sebagai badan induk badminton tertua di Malaysia.

Sementara itu, Kau Kiak selaku Presiden PBA mendedahkan kerajaan negeri menawarkan tanah seluas 10 ekar untuk membina akademi di utara tanah air itu, namun pembinaannya dijangka memakan masa sehingga lima tahun.

“Ini adalah visi kami, walaupun ia masih dalam fasa perbincangan bersama kerajaan negeri dan pihak berkepentingan, kami yakin ia mampu direalisasikan demi masa depan badminton Pulau Pinang,” kata Kau Kiak.

Sambutan ulang tahun ke-100 PBA yang akan disambut pada 22 November depan, bakal menghimpunkan legenda-legenda badminton dunia termasuk Chong Wei, Taufik Hidayat (Indonesia) serta Kento Momota (Jepun). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI