fbpx
RAMOS terdesak untuk menyertai kelab yang mampu memberinya peluang beraksi secara konsisten. - AFP

Newcastle buru Ramos ganti Isak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Newcastle United mengintai kelibat penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Goncalo Ramos ketika kelab itu masih giat mencari pengganti Alexander Isak yang berkeras mahu berhijrah ke Liverpool.

Ramos, 24, sebenarnya berada dalam senarai awal The Magpies awal bulan ini, namun rundingan dianggap buntu selepas maklumat awal menyatakan perpindahan sukar direalisasikan.

Bagaimanapun, laporan terbaru mendedahkan penyerang Portugal itu kembali semula dalam radar Newcastle selepas ejennya memberi bayangan PSG lebih cenderung menjualnya secara tetap berbanding pinjaman.

Meskipun Ramos baru sahaja menjaringkan gol dalam kemenangan Piala Super Eropah ke atas Tottenham, dia masih belum menjadi pilihan utama Luis Enrique sekali gus membuka ruang besar untuk Newcastle.

Bekas bintang Benfica itu sebelum ini memberi bayangan mahu kekal bersama juara Ligue 1, namun peluang beraksi secara konsisten di St. James Park dijangka lebih meyakinkan buat kariernya.

Setakat ini, Ramos telah meledak 34 gol dalam 88 penampilan bersama PSG tetapi hanya 34 daripadanya selaku kesebelasan utama sekali gus membuktikan potensi besar yang masih belum digilap sepenuhnya.

Dalam masa sama, Newcastle masih berusaha menambah dua penyerang baharu sebelum jendela perpindahan ditutup dengan Yoane Wissa dari Brentford dilaporkan semakin hampir melengkapkan perpindahan minggu depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN