SPIELBERG – Bintang MotoGP, Marc Marquez menyasarkan kemenangan sulung di Litar Red Bull Ring pada Grand Prix Austria hujung minggu ini dengan kelebihan menunggang jentera Ducati.
Sepanjang kariernya dalam MotoGP, juara dunia lapan kali itu belum pernah muncul selaku juara di Austria selepas beberapa kali ditewaskan jentera Ducati, termasuk oleh Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo.
Bagaimanapun, selepas menyertai pasukan kilang Ducati musim ini, Marquez percaya beliau mempunyai peluang realistik untuk menamatkan penantian tersebut.
“Saya sudah beberapa kali hampir menang di sini, tetapi selalu tewas kepada jentera merah. Kini saya sendiri menunggang jentera merah itu, jadi kita lihat sama ada saya mampu bersaing untuk kemenangan,” katanya.
Pelumba berusia 32 itu mengakui tempoh rehat musim panas baru-baru ini membantunya mendapatkan kembali tenaga dan fokus untuk mengharungi separuh kedua musim.
“Sasaran utama sekarang adalah kembali ke kejuaraan dengan cara terbaik. Perlumbaan berturut-turut di Austria dan Hungary penting untuk mengembalikan keyakinan saya.
“Pastinya perlumbaan minggu tidak mudah terutama cabaran dari Pecco (Francesco Bagnaia) Dia sangat pantas dan memiliki kelebihan ketika membrek di litar ini, sebab itulah dia sering menang di sini,” ujarnya.
Marquez ketika ini semakin sukar digugat dalam misi memburu gelaran dunia Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2025 apabila meraih kemenangan kelima berturut-turut musim ini selepas mengungguli Grand Prix (GP) Rep. Czech bulan lalu. – AGENSI














