‘Kadang-kadang publisiti datang sendiri, kita tak cari’
Oleh HARYATI KARIM
16 Ogos 2025, 8:10 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEMULAKAN karier lakonan sejak berusia 18 tahun, figura bernama Fasha Sandha sudah begitu ‘masak’ dengan segala sepak terajang dunia hiburan.
Apatah lagi sepanjang 22 tahun bergelar pelakon, Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, bukan sahaja pernah berada di puncak populariti, bahkan pernah juga berada di titik terbawah natijah terhukum dek kontroversi panas.
Pada zaman mudanya, Fasha ibarat ratu publisiti. Pesonanya cukup menyengat, ada sahaja kisah sensasinya tertulis di dada akhbar dan majalah hiburan.
Kini pada usia 41 tahun, bintang drama Rampas Cintaku itu dilihat lebih memilih ketenangan, namun ketika disoal tentang kepentingan publisiti, Fasha dilihat teragak-agak sebelum memberi jawapan ringkas.
“Publisiti kita (selebriti) tidak cari, tetapi akan datang sendiri kerana publisiti berjalan seiring dengan karier anak seni.
“Kadangkala bukan kita (selebriti) yang cari publisiti, ada yang terjadi dengan sendirinya,” ujar Fasha membuka bicara.
Fasha enggan bercakap panjang tentang penampilan terkini yang boleh diibaratkan sedang belajar berhijab seiring kematangan usianya kini.
Meski dilihat sentiasa bersiap sedia berhadapan dengan media, ada masanya dia juga mengunci mulut berhubung sesuatu isu.
“Biasanya, saya hanya akan jawab apabila pihak media bertanya. Jika tidak boleh jawab, saya akan beritahu ‘no komen’,” kata Fasha.
Disoal tentang imej terbaharunya yang kini berhijab, Fasha memilih untuk tidak mengulas panjang. Dia cukup sedar masih terlalu banyak kekurangan diri yang harus diperbaiki.
Disiplin
Mengenali pelakon dengan lebih 40 buah drama dan 29 buah filem itu, sungguh, Fasha ternyata masih kekal berdisiplin ketika bekerja.
Bukan biasa-biasa, dia masih menjadi pelakon terawal tiba di set penggambaran dari dahulu hingga kini. Kata isteri kepada aktor Aidil Aziz itu, dia sudah terbiasa menjaga disiplin tidak kira dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan.
“Walaupun sudah berpengalaman, saya masih menitikberatkan soal disiplin. Saya dilatih menjaga disiplin sebelum jadi pelakon lagi, sejak bekerja sebagai model dahulu.
“Semasa menjadi model, saya selalu ada kerja yang bermula pada awal pagi. Jadi, sehingga sekarang saya sudah terbiasa soal penjagaan masa. Kita hormat masa orang, orang akan hormat masa kita
“Sejujurnya pernah saya tidak tidur semata-mata mahu sampai tepat waktu di set penggambaran. Adakala penggambaran habis lewat malam dan akan bermula awal pagi, tetapi sebab risau akan terlewat, saya tidak tidur,” ujarnya.
Berbicara soal karier lakonan, Fasha menegaskan tidak akan berhenti berlakon selagi peminat masih mahu menonton lakonannya.
“Sebenarnya saya tidak meletakkan sebarang had limit sampai bila mahu berlakon. Selagi karya mendapat tempat di hati khalayak, saya akan terus berlakon.
“Lagi pun lakonan adalah minat saya yang telah saya lakukan sejak zaman remaja. Jadi, tidak kisah sehingga umur berapa pun, jika ada karakter yang bagus saya akan tetap berlakon,” kongsinya.
Ditebak apa lagi watak yang menjadi idamannya saat ini, tanpa berselindung Fasha mahu melakonkan watak adiwira yang sangat bertentangan dengan karakter lemah lembutnya.
Jelas Fasha, sehingga kini dia masih belum berpeluang terlibat dalam karya yang memerlukan lagak aksi daripadanya.
“Teringin sangat nak berlakon sebagai ‘superwomen’ dan terlibat dalam karya aksi yang memerlukan saya menjalani latihan aksi atau melakukan sendiri aksi lagak ngeri,” tuturnya yang kini sedang meneliti beberapa tawaran lakonan.
Tauke kopi
Selain lakonan, wanita berjiwa usahawan itu juga pernah memiliki sebuah salon yang diberi nama Chinta Salon.
Ironinya, selepas lapan tahun beroperasi, salon tersebut terpaksa ditutup semasa penularan wabak Covid-19.
“Perniagaan salon terpaksa ditutup kerana tuan kedai mahu mengambil semula kedai untuk disewakan kepada anaknya sendiri.
“Mungkin Allah mahu melindungi saya, sebaik salon ditutup satu Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana Covid-19.
Fasha mengidam untuk membawakan watak adiwira dalam karya aksi. – IHSAN FASHA SANDHA
“Jadi, saya terselamat daripada menanggung kerugian dan membayar kos-kos operasi sedangkan waktu itu semua perniagaan ditutup. Tetapi dalam hati, saya tetap minat bisnes,” ujarnya.
Tidak berputus asa, kini Fasha bangkit kembali dengan perniagaan terbaharunya menerusi francais jenama Kopi Saigon yang kini beroperasi di pusat beli-belah MyTown, Cheras, Kuala Lumpur.
Jelas Fasha, dia memilih untuk terjun ke dunia perniagaan F&B kerana melihat potensi yang cerah, selain sebagai persediaan untuk masa depan sendiri.
“Ini adalah perniagaan F&B pertama saya. Buat masa sekarang, perniagaan ini adalah fokus utama saya. Saya mahu sediakan payung sebelum hujan.
“Maklumlah, dunia seni ada turun naiknya. Selagi orang mahukan saya, adalah saya ‘job’ lakonan. Jika suatu hari nanti tiada sebarang job, perniagaan ini adalah masa depan saya.
“Alhamdulillah, saya seronok melayan pelanggan di kedai. Selepas ini ada perancangan untuk kembangkan lagi perniagaan kopi ke Utara tanah air, tetapi saya tidak mahu tamak. Saya mahu fokus dan pastikan kedai kopi ini berjaya dahulu,” katanya menutup bicara.