KUALA LUMPUR – Polis akan meneliti ucapan peserta sekiranya menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) dalam perhimpunan ‘Justice For Zara’ yang berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, seramai 100 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang himpunan itu yang berlangsung bermula pukul 7.30 malam ini.
“Kita (ada) menempatkan pasukan perakam dan kita akan meneliti ucapan-ucapan yang disampaikan oleh peserta yang berucap tadi.
“Sekiranya ada ucapan yang melanggar undang-undang dan menyentuh isu sensitif terutamanya 3R, kita akan membuka kertas siasatan dan memanggil individu tertentu jika ada keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau lokasi perhimpunan ‘Justice For Zara’, di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata, kehadiran peserta himpunan berkenaan dianggarkan mencecah seramai 450 orang.
Mengulas mengenai tindakan keterlaluan atau provokasi, katanya, ia merupakan tanggungjawab penganjur dan juga peserta perhimpunan untuk berkelakuan baik.
“Jika ada pelanggaran undang-undang, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan ratusan peserta himpunan Justice For Zara memenuhi pekarangan pusat beli-belah Sogo sebagai tanda solidariti bagi menyuarakan keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir. – KOSMO! ONLINE