KUALA LUMPUR – “Sebagai seorang ibu, saya faham perasaan ibu (Zara Qairina Mahathir) yang pasti menanggung derita yang tidak terungkap.”
Demikian kata salah seorang peserta himpunan ‘Justice For Zara’ yang ditemui di hadapan pusat beli-belah Sogo, di sini, hari ini.
Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Kamariah berkata, dia terpanggil untuk turun berhimpun malam ini selepas mengetahui kisah remaja terbabit menerusi media sosial.
“Naluri seorang ibu dorong saya hadir bersolidariti malam ini.
“Bayangkan anak yang dilahirkan serta ditatang bagai minyak penuh, akhirnya kehilangan nyawa dalam sekelip mata,” katanya.
Tinjauan wartawan Kosmo! di sini mendapati, suasana hiba menyelubungi kawasan hadapan pusat beli-belah Sogo, di sini, apabila lantunan lagu Justice For Zara Qairina disusuli laungan ‘Justice for Zara’ oleh peserta yang hadir.
Difahamkan, himpunan tersebut dianjurkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan bersama pempengaruh dan tokoh rakyat yang berlangsung selana dua hari sejak semalam.
Zara Qairina, 13, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah. – KOSMO! ONLINE