LONDON – Liverpool mungkin memiliki jalan terakhir untuk memujuk Newcastle United melepaskan khidmat penggempur buruan mereka, Alexander Isak sebelum jendela perpindahan musim panas kali ini ditutup.
Sebelum ini, Liverpool telah mengemukakan tawaran bernilai £110 juta (RM627.55 juta) untuk mendapatkan Isak, namun ditolak mentah-mentah oleh Newcastle yang kekal dengan pendirian mahukan nilai £150 juta (RM855.75 juta).
Perkembangan itu menyebabkan Liverpool mengumumkan mereka menghentikan seketika pemburuan tersebut biarpun kekal berminat untuk membawa Isak ke Anfield bagi menghadapi saingan musim depan.
Newcastle juga dalam perkembangan terbaharu mengesahkan bahawa mereka membuat keputusan untuk tidak menjual Isak pada sebarang harga biarpun terpaksa berdepan protes daripada pemain itu yang mengugut untuk tidak turun beraksi sekiranya gagal berhijrah.
Bagaimanapun, masih terdapat satu lagi jalan yang berpotensi membolehkan Liverpool merealisasikan impian mereka mendapatkan Isak dengan menawarkan jumlah wang tunai tertentu bersama seorang pemain kepada Newcastle.
Newcastle sebelum ini pernah menyatakan minat mereka untuk mendapatkan Joe Gomez apabila pernah mengemukakan tawaran pada musim panas lalu bernilai £45 juta (RM256.72 juta), tetapi ditolak Liverpool.
Situasi itu menyaksikan Liverpool boleh menggunakan Gomez sebagai umpan untuk urusan perpindahan kali ini selain mereka juga mungkin boleh menawarkan Harvey Elliot sebagai pilihan buat Newcastle. – AGENSI