SHAH ALAM- Helang putih terpilih sekali lagi menjadi maskot rasmi Sukan Malaysia (Sukma) Selangor ke-22 selepas penganjuran sukan sama pada tahun 1988.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, Sekretariat Sukma ke-22 mengambil keputusan untuk mengekalkan helang putih sebagai maskot rasmi kerana haiwan berkenaan menonjolkan simbol kekuatan, keberanian serta tangkas.
“Maklum balas yang diterima pihak sekretariat daripada pelbagai pihak mahu helang putih dikekalkan sebagai maskot.
“Pihak sekretariat tidak menerima cadangan haiwan atau objek lain yang hendak dijadikan sebagai maskot Sukma Selangor 2026,” katanya.
Terdahulu, pelancaran logo, maskot, tema dan 1 Year Countdown Sukma ke-22 tersebut disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Kata Mohd. Najwan, helang putih mudah ditemui di kawasan laut di negeri ini seperti daerah Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Menurutnya, pihaknya belum menamakan lagi maskot tersebut, yang terdiri daripada sepasang helang putih dan mengalu-alukan orang ramai memberikan cadangan nama kepada pasangan itu. – KOSMO! ONLINE