MANCHESTER – Penurunan prestasi yang dilalui musim lalu memberikan kesan besar buat Manchester City yang akan memulakan kempen baharu Liga Perdana Inggeris dengan menentang Wolverhampton, tengah malam ini.
Kegagalan untuk memenangi sebarang kejuaraan musim lalu masih lagi segar di ingatan dan musim ini menjadi detik terbaik buat City untuk mengembalikan pasukan itu ke tahap mereka yang sebenar biarpun cabarannya lebih sukar.
Pemain tengah City, Phil Foden mengakui bahawa mentaliti pasukan itu semakin jelas apabila mahu menjadikan kekecewaan musim lalu sebagai suntikan semangat untuk tampil lebih baik pada kempen kali ini.
“Sudah pasti semua orang mahu mengubah apa yang berlaku musim lalu, kami mahu memberikan yang terbaik dan kembali memenangi gelaran. Kami memiliki pengalaman dan pernah melakukannya sebelum ini.
“Apa yang positif adalah apabila anda mempunyai pengalaman melakukannya sebelum ini, jadi anda tahu bagaimana untuk mengulanginya semula. Kami berharap pasukan ini kembali ke tahap sepatutnya kami berada,” katanya.
Sementara itu, rakan sepasukan Foden, Bernardo Silva percaya rasa bersalah ekoran kegagalan musim lalu bakal menjadi suntikan semangat penting buat pasukan itu untuk turun dengan aksi terbaik terutama pada perlawanan pembuka tirai menentang Wolves di Stadium Molineux malam ini.
“Sudah pasti wujudnya perasaan bersalah dalam kalangan pemain terhadap pengurus dan peminat kerana kami gagal melakukan tugas dengan baik pada saingan musim lalu. Walaupun ada isu kecederaan, kami tidak boleh menjadi seteruk itu.
“Jadi, kami tidak boleh terus mengalah dengan mudah sebaliknya sekarang kami sepatutnya wajar melakukan tugas kami dengan lebih baik lagi,” jelasnya. – AGENSI














