ALOR GAJAH – Hasrat 45 penduduk Jalan Kereta Api Lama Kampung Pengkalan di sini untuk memiliki tanah sendiri sejak lebih 30 tahun lalu akhirnya tercapai selepas mereka menerima Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) dan Notis 5A daripada Kerajaan Negeri Melaka.
Pemohon, R. Palanisamy, 49, berkata, sebelum ini proses permohonan tanah dibuat oleh mendiang bapanya sebelum usaha itu diteruskan bersama abang, R. Bhaskar, 54, dan kakak, R. Sarojini, 61.
Katanya, dia sekeluarga bersama penduduk lain pernah dianggap tinggal di kawasan setinggan hanya kerana tidak memiliki dokumen milikan tanah yang sah.
“Sejak kecil kami tinggal di kawasan itu. Ketiadaan dokumen sokongan membuatkan kami berasa tidak sedap hati sebab sebelum ini kami dianggap seperti setinggan.
“Jadi, saya bersama abang dan kakak membuat permohonan sebanyak tiga kali kepada kerajaan negeri.
“Kami tidak menyangka perjuangan untuk memiliki tanah sendiri sejak lebih 30 tahun lalu diluluskan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan PTK dan Notis 5A di sini, hari ini.
Palanisamy merupakan antara 45 penerima dokumen tersebut yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh. – KOSMO! ONLINE














