fbpx
Sultan Ibrahim berkenan melakukan pemeriksaan Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing hari ini. - Foto oleh ISTANA NEGARA

Agong titah batal cadangan beli helikopter Black Hawk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MERSING – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Pertahanan agar membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang telah berusia lebih 30 tahun.

Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bertitah mengingatkan kementerian berkenaan supaya tidak mengulangi kesilapan dahulu.

“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand (terpakai). Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.

“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘agent’ atau bekas Jeneral yang menjadi ‘salesman’, malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual ‘drone’.

“Kalau semua pembelian kena ikut harga orang tengah, maka peruntukan yang ada tidak akan cukup. Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, di sini hari ini.

Terdahulu, pada Mac lalu, Kementerian Pertahanan dalam proses menilai semula kaedah terbaik bagi perolehan helikopter UH-60 Black Hawk untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, dilaporkan berkata, kaedah tender terbuka perolehan helikopter akan dibuka sekiranya ada keperluan dan jika ada banyak pihak yang boleh memberi jaminan kepada kerajaan yang mereka boleh mendapatkan aset terbabit.

November tahun lalu, Mindef menyerahkan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk kepada syarikat yang sebelum ini telah memenangi tender berkenaan.

Tindakan berkenaan diambil selepas syarikat berkenaan gagal memenuhi tarikh akhir ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan hingga akhir Oktober.

Sementara pada 1 Mac lalu, media melaporkan Mindef merancang membuka semula tender kontrak sewaan helikopter UH-60 Black Hawk untuk digunakan TDM pada masa hadapan susulan syarikat dilantik sebelum ini gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN