fbpx
Che Ta menegaskan kelantangan bersuara mengenai isu buli adalah bagi membuka mata masyarakat agar lebih cakna terhadap gejala yang semakin membimbangkan itu. 

‘Terdetik hati, kalaulah saya berada di tempat mak arwah Zara..’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bukan meraih perhatian, pelakon Rozita Che Wan menegaskan kelantangan bersuara mengenai isu buli adalah bagi membuka mata masyarakat agar lebih cakna terhadap gejala yang semakin membimbangkan itu.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 54, berkata, semua pihak wajar menjadikan insiden tragis yang menimpa pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustapha, Allahyarham Zara Qairina, sebagai iktibar agar tragedi sama tidak berulang.

“Mula-mula saya terbaca luahan hati seorang ibu, terdetik dalam hati saya kalaulah saya berada di tempat mak arwah Zara Qairina.

“Macam mana saya nak hadap masalah ini seorang diri, memang tak dapat dibayangkan,” katanya ketika diwawancara penyampai radio Hot FM, baru-baru ini.

Berkongsi usahanya menyuarakan nasib Allahyarham, beliau awalnya memuat naik isu tersebut di InstaStory sebelum mengambil inisiatif menggunakan hantaran status bagi membolehkan penyebaran lebih meluas.

“Lepas saya post dekat feed (hantaran), video itu dapat 2.3 juta tontonan dan dari situ orang mula ambil tahu, komen dan kongsi.

“Itu sebenarnya tujuan saya iaitu supaya lebih ramai buka mata. Saya mahu kes melibatkan arwah Zara Qairina tidak tenggelam dalam lambakan kes viral lain,” ujarnya.

Bercerita pula mengenai pengalaman lalu, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui dia pernah menyaksikan insiden buli ketika tinggal di asrama di zaman persekolahannya.

“Kes buli bukan perkara baharu. Zaman saya sekolah pun ada. Masa itu, pelajar senior suka tunjuk mereka lebih hebat daripada cikgu, jadi mereka buli pelajar junior,” katanya.

Pada masa sama, Che Ta yang ditanya sama ada akan membenarkan anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, bersekolah di asrama penuh mengakui tidak akan berbuat demikian.

“Memang taklah saya nak hantar Aaisyah ke sekolah asrama dengan keadaan buli sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, isteri kepada pelakon Zain Saidin turut menitipkan kata-kata semangat semangat buat ibu arwah, Noraidah Lamat, 45, dengan memaklumkan dirinya tidak sendirian.

“Jangan rasa dia keseorangan, sebab sekarang ini satu Malaysia tengah bangkit menuntut keadilan. Kita semua bersama dia,” kongsinya.

Terdahulu, Che Ta antara selebriti yang aktif memperjuangkan keadilan buat pelajar berusia 13 tahun itu menerusi media sosialnya agar keadilan dapat dibongkar.

Pada 16 Julai lalu Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada 3 pagi, 16 Julai lalu dan meninggal dunia di hospital.

Kes yang didakwa berpunca daripada buli itu mencetuskan kemarahan ramai malah Pada 8 Ogos lalu, kubur Allahyarham digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN